Ulasan Oleh Dr. Shaharir Mohamad Zain Berkenaan Kenyataan Dr. Mahathir Dalam Isu PPSMI

|


(Pandangan Dr. Mahathir ini dipetik daripada blognya sendiri yang saya sedari adanya pada 23/08/08. Untuk memudahkan pembaca, pandangannya dipaparkan kembali satu persatu di sini dan pandangan balas saya terus diberikan perkara demi perkara.)

Mahathir 1: Saya mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kerana itu ramai yang menuduh saya tidak bersemangat kebangsaan Melayu, tidak utamakan bahasa saya.

Jawaban Shaharir:
Pertama: Maknanya dasar beliau itu tidak mendapat persetujuan sepenuhnya daripada UMNO!?

Kedua: Memang beliau wajar menerima tuduhan yang disebutkannya itu kerana jelas makna “semangat kebangsaan” beliau berbeza daripada kebanyakan orang; dan makna “utamakan bahasa” beliau juga amat berbeza daripada sesiapa pun. Beliau suka memutarbelitkan isu dengan ayat lojik yang betul tetapi berimplikasi kabur dengan harapan orang terperangkap. Umpamanya “semangat kebangsaan ialah semangat yang mengutamakan bangsa” tetapi beliau menterbalikannya “orang yang tidak mengutamakan bangsa ialah orang yang tidak bersemangat kebangsaan”. Lojiknya betul tetapi beliau menyelewengkan makna “bangsa” pula kerana beliau tidak menerima “bahasa menunjukkan bangsa” atau lebih dalam lagi “bahasa jiwa bangsa”. Lagi satu, “Orang yang mengutamakan bahasanya bermakna bahasa lain berada ditangga bawah”, atau terbaliknya “Orang yang tidak meletakkan bahasa lain ditangga bawah bermakna orang itu tidak mengutamakan bahasa sendiri”; tetapi Dr. Mahathir lari daripada dua-dua bentuk ayat yang secara lojiknya betul ini dengan mengatakan “Orang yang ingin menguasai bahasa lain tidak bermakna dia tidak mengutamakan bahasanya sendiri”. Betul, tetapi dia menutup orang menumpukan kepada cara menguasai bahasa lain itu, sedangkan cara itu kalau salah, seperti yang dilakukannya itu, jelas bukan sahaja tidak mengutamakan bahasa sendiri tetapi menyisih, mengembiri atau mematikan langsung bahasa sendiri. Inilah sebenarnya cara beliau dalam dasar pendidikan beliau yang tidak membenarkan bahasa sendiri digunakan dalam sains dan matematik itu kerana dasar beliau itu menjadikan lebih daripada 60% peratus pelajar sekolah berada di aliran Inggeris (lebih drp 70% subjek bagi pelajar aliran sains menjadi dalam bahasa Inggeris). Beliau berjaya mengalih pandangan orang kepada hakikat ini.
Mahathir 2: Izinkan saya membuat sedikit penjelasan sebelum saya dihukum.

Jawaban Shaharir:
Baiklah.

Mahathir 3: Pendapat saya ialah mereka yang bersemangat kebangsaan Melayu tidak harus utamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja tetapi juga melihat bangsanya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia. Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan ilmu pengetahuan yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing dengan jayanya dengan bangsa-bangsa maju dan dianggap setaraf dengan mereka.

Jawaban Shaharir:
Pertama: Seperti yang disebut di atas, Dr. Mahathir memang berpegang pada makna “semangat kebangsaan” yang salah. Sesuatu dasar yang membelakangi bahasa B padanya tidak bertentangan dengan “semangat kebangsaan B” . Ini suatu pendirian yang aneh dan tidak akan berlaku di mana sahaja bangsa di dunia ini. Bayangkan B itu Perancis, Jerman, Inggeris atau Jepun dan sebagainya. (tetapi jangan bayangkan negara-negara di Afrika, India, Filipina, dsbnya; iaitu negara-negara yang parah terjajah dan mundur atau yang tidak layak menjadi model kemajuan). Sudah pastinya bangsa B ini akan menentang sekeras-keras kepada pemimpinnya yang mahu menjadikan bahasa bukan bahasa B sebagai bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik, walaupun hujah yang muluk-muluk dapat diutarakan akan kewajaran dasar itu. Di Malaysia ini suku kaum China umpamanya tidaklah begitu marah kepada Dr. Mahathir dengan dasar pendidikannya itu kerana Dr. Mahathir telah bertindak lembut terhadapnya dengan membenarkan bahasa Cina juga boleh terus digunakan. Kalau dia berkeras sama seperti terhadap suku kaum Melayu, maka Dr. Mahathir layak dituduh “tidak bersemangat kebangsaan Malaysia” oleh semua kaum di Malaysia. Nasib baik Dr. Mahathir tidak mendapat tentangan yang keras daripada orang Melayu (UMNO terutamanya) pada masa dia berkuasa dahulu kerana sifat Melayu UMNO yang feudal (“Ketua mesti betul!”).

Kedua, dan ini lebih penting lagi: Dr. Mahathir membuat andaian orang tidak mungkin fasih dalam bahasa lain jika dia belajar sains dan matematik dalam bahasa sendiri. Dia juga sengaja membuat andaian yang salah, dan diulang-ulangnya pada mana-mana kesempatannya, bahawa orang bersemangat kebangsaan tidak hirau bahasa lain dan tentu maksudnya bahasa Inggeris, malah kadang kala ditegaskan nasionalis ini tidak mahu orang lain menguasai bahasa Inggeris dan Berjaya seperti nasionalis itu. Sungguh jahat! Dia sengaja cuba memfitnahkan bahawa selama 30 tahun lebih ini orang Malaysia belajar sains dan matematik dalam bahasa sendiri (tentu bahasa Melayu maksudnya) tidak berjaya dalam sains dan matematik dan tiada fasih berbahasa Inggeris ke tahap yang sewajarnya.

Semua ini semata-mata prangsangka buruknya sahaja atau kejahilannya mengenali ahli sains dan matematik Malaysia selama ini. Tentunya apabila kita kata “ahli sains dan matematik Malaysia” ini bermakna orang Malaysia yang dahulunya belajar sains dan matematik sekolah hingga universiti dalam bahasa Melayu, atau sekurang-kurang belajar sains dan matematik sekolah dalam bahasa Melayu tetapi kemudian berkarya ilmu sains atau matematiknya di arina antarabangsa (menerbitkan karyanya dalam jurnal atau pascasidang dalam bahasa Inggeris di samping bahasa Melayu). Ahli sains dan matematik ini sudah ribuan banyaknya! Tentunya kita belum berjaya mendapat Hadiah Nobel, tetapi ini bukan kerana bahasa. Hadiah Nobel boleh dimenangi oleh orang yang tidak berapa tahu bahasa Inggeris pun! Telaahlah senarai pemenang Hadiah Nobel ini. Lagi pun, adakah Negara Membangun yang memang dasar pendidikannya semuanya sejak tadika bukan dalam bahasa sendiri, tetapi bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain, yang diagungkan oleh pemimpinnya masing-masing, selama ini sudah melahirkan ahli sains atau ahli matematik yang menerima hadiah sains atau matematik yang besar-besar yang mungkin menjadi kayu ukur Dr. Mahathir ?
Selanjutnya:

0 ulasan:

Catat Ulasan